Rancangan Pengajaran Harian atau ringkasnya RPH digunakan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah. Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu dokumen rasmi penting kepada seorang guru profesional yang perlu disediakan sebelum sesuatu pengajaran dilaksanakan. Seorang guru perlu menguasai kemahiran merancang rancangan pengajaran yang akan dilaksanakan dengan berkesan. Kejayaan sesuatu pengajaran yang disampaikan oleh guru di dalam kelas bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan guru membuat perancangan dan persediaan rapi sebelum memulakan sesi pengajaran. Sebagai seorang guru profesional , kemahiran merancang dan menulis Rancangan Pengajaran Harian amat penting dan sesuai dengan tugas guru sebagai pengurus bilik darjah. Apabila seseorang guru dapat membina Rancangan Pengajaran Hariannya sendiri bermakna beliau telah dapat menguasai isii kandungan, kaedah pengajaran serta dapat meramalkan iklim bilik darjah yang akan dihadapinya.
KEPENTINGAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH)
1. Merancang pengajaran guru dan pembelajaran murid dengan teliti agar menepati sukatan/standard pengajaran yang ditetapkan.
2. Menggunakan masa pengajaran secara optimum.
3. Menyediakan satu siri aktiviti untuk membantu murid mencapai hasil pembelajaran , meningkatkan kemahiran yang dikehendakki, menerap nilai-nilai murni dan proses penilaian yang terancang.
4. Persediaan mengajar juga dapat membantu guru mengingati isi pelajaran yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan
5. Menyedia bahan bantu mengajar (BBM) dan strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang perlu untuk menyampaikan sesuatu isi pelajaran dengan berkesan sesuai dengan tahap kemahiran murid.
6. Mengembangkan langkah aktiviti pengajaran secara lancar, tersusun dan sistematik
7. Guru dapat meramal situasi di dalam kelas seterusnya membuat persediaan langkah-langkah untuk mengatasi masalah.
8. Meningkatkan keyakinan diri guru semasa proses pengajaran berlangsung.
9. Memberi peluang kepada guru pengganti mengambil alih tugas pengajaran dengan mudah dan berkesan.
10. Pemantauan dan bimbingan oleh pihak pengurusan sekolah dapat dilaksanakan melalui Rancangan Pengajaran Harian yang disediakan secara eksplisit oleh guru mata pelajaran .
FORMAT RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
* Masa
* Tema
* Tarikh
* Hari
* Tunjang (Standard Kandungan / Standard Pembelajaran)
* Aktiviti
* Bahan Bantu Mengajar (BBM)
* Kesepaduan / Nilai
* Catatan
RANCANGAN PENGAJARAN BERPUSATKAN GURU
Berbeza dengan kaedah berpusatkan murid, kaedah ini merupakan satu pendekatan pengajaran di mana aktiviti kelas tertumpu hanya kepada guru. Pelajaran berpusatkan guru amnya dikaitkan dengan pendekatan tradisional kepada pembelajaran bahasa, tetapi aktiviti berpusatkan guru boleh menjadi berguna dalam pelbagai cara dalam pengajaran.
Ada waktunya guru perlu melaksanakan pengajaran berpusatkan guru, berdasarkan kepada ciri pelajar, suasana persekitaran dan isi kandungan pelajaran.
Ciri-ciri pendekatan ini ialah :
Guru memainkan peranan penting.
Komunikasi sehala di mana guru banyak bercakap.
Penyebaran ilmu pengetahuan lebih utama daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan emosi.
Penyampaian fakta secara menghafal, bermakna pembelajaran adalah berbentuk mengingat isi pelajaran.
Antara kaedah dan teknik pengajaran berpusatkan guru ialah :
Demonstrasi – satu kaedah mengajar di mana guru menunjukkan sesuatu cara atau perlakuan dalam menyelesaikan masalah kepada murid.
Soal jawab – merupakan satu aspek penting yang boleh membawa murid kepada aktiviti kognitif aras tinggi. Berupaya membantu murid mengingat kembali fakta-fakta dan mencungkil fikiran murid.
Bercerita – Guru memilih cerita yang bersesuaian dan bertepatan dengan objektif pembelajaran dan pengajaran.
No comments:
Post a Comment